Datuk Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali melontarkan kritikan pedas terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli, susulan kenyataan sindirannya apabila mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berebut jawatan sedangkan masalah rakyat belum selesai.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu menyifatkan Ahli Parlimen Pandan itu sebagai pemimpin hipokrit yang gemar menyindir tetapi gagal membuktikan kemampuan ketika menjawat jawatan Menteri Ekonomi.

Menurut beliau, kenyataan Rafizi hanya satu cubaan mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan sebenar kerajaan Madani yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Rafizi lupa bahawa Bersatu dan PN adalah pembangkang. Yang gagal urus ekonomi dan kebajikan rakyat ialah kerajaan Madani termasuk beliau sendiri,” katanya menerusi kenyataan.

Ibrahim mendakwa ketika menjadi Menteri Ekonomi, Rafizi gagal memperbaiki keadaan ekonomi negara sehingga menyebabkan harga barang terus naik, nilai ringgit jatuh dan pelabur semakin hilang keyakinan.

“Mulut laju, kononnya penuh teori ekonomi tapi hasilnya kosong. Rakyat masih ingat, bila harga barang naik dan ringgit jatuh, bayang Rafizi pun tak nampak. Bila muncul, hanya sindiran murahan,” ujarnya.

Ibrahim turut menyentuh kekalahan Rafizi pada pemilihan Timbalan Presiden PKR kepada seorang calon wanita muda yang menurutnya membuktikan Rafizi sendiri tidak kebal daripada ‘perebutan jawatan’.

“Lucunya, dia sendiri pernah berebut jawatan dan kalah. Itu bukan harimau politik tapi kucing parit yang lari bila hujan.”

“Rafizi bukan ubat kepada masalah negara malah racun yang memburukkan lagi keadaan,” tambahnya.

Ibrahim menggesa agar rakyat menilai semula peranan Rafizi dalam kerajaan dan tidak terus terpedaya dengan retorik kosong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast