Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

MELAKA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengesan sekiranya wujud elemen ‘penunggang politik’ dalam insiden ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru di ibu negara hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan Madani sentiasa menghormati kebebasan berhimpun seperti termaktub dalam Perlembagaan namun perbuatan mencederakan penjawat awam tidak boleh dikompromi.

Dalam kejadian itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami pendarahan akibat kecederaan berpunca selepas dibaling objek ketika bertugas mengawal keadaan di lokasi berkenaan.

“Kita akan cuba mengesan jika ada elemen bersifat datangnya daripada political opportunist yang terang-terang menunggang isu ini untuk menimbulkan ketegangan dan keresahan.

“Sepintas lalu, mereka mahu dilihat sebagai membela tetapi sebenarnya tampil menyebarkan maklumat palsu, menimbulkan tohmahan, menganjurkan keganasan dan juga menyemarakkan kebencian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) kepada Filipina di Banda Hilir di sini hari ini.

Saifuddin (Kiri) melakukan simbolik Penyerahan tengkolok pada Majlis Penyerahan Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) kepada Filipina di Banda Hilir di sini hari ini.

 

Saifuddin turut menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati dan tidak terperangkap dengan naratif yang dimainkan opportunist politik yang jika tidak dibendung akan menggugat keharmonian rakyat di negara ini.

Tegasnya, Kerajaan Madani konsisten menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, namun kebebasan tersebut tidak boleh dijadikan alasan mencederakan penjawat awam.

“Harus diingat kebebasan berhimpun mestilah datang dengan tanggungjawab, tak boleh dicemari dengan perbuatan-perbuatan yang menyalahi undang-undang.

“Tanggungjawab mereka (peserta) adalah menggunakan kebebasan berhimpun untuk menyampaikan apa saja suara mereka tetapi mencederakan penjawat awam itu satu perkara lain.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tadi dan telah pun bercakap dengan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan segera dan tegas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast