Anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) mengawal keadaan selepas berlaku provokasi oleh penduduk berhubung notis perobohan untuk baki 15 rumah oleh syarikat pemaju ketika di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak luar yang cuba mencetuskan provokasi dalam operasi pengosongan 37 unit kediaman di Kampung Sungai Baru di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, beberapa individu yang dipercayai bukan penduduk setempat telah ditahan selepas dikesan bertindak melampau sehingga mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.

“Dalam operasi ini, pasukan penguat kuasa hanya menjalankan tugas seperti diarahkan. Namun ada pihak mengambil kesempatan untuk bertindak keterlaluan, sehingga pegawai saya cedera dibaling objek. Ini perkara yang tidak boleh diterima dan saya sangat marah,” katanya pada sidang media di lokasi operasi hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Menurut Fadil, Sulizmie kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala polis sedang mengenal pasti bentuk kecederaan yang dialaminya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan kekacauan atau mempunyai kepentingan lain di sebalik isu pengosongan tersebut.

“Saya tidak mahu ada pihak cuba timbulkan huru-hara. Beberapa tangkapan sudah dibuat dan tindakan lebih keras akan diambil jika insiden seumpama ini berulang,” ujarnya.

Terdahulu, keadaan tegang tercetus apabila sekumpulan penduduk berhimpun membantah tindakan penguatkuasaan dan merempuh kepungan polis sebelum suasana berjaya dikawal dengan bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Ketika ini, operasi mengosongkan unit kediaman berkenaan masih diteruskan dan dijangka selesai sepenuhnya petang ini.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan KL City Gateway Sdn. Bhd. (KLCG) sebelum ini mendapat tentangan keras daripada sebahagian penduduk yang enggan berpindah walaupun sebahagian besar lain telah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM mahu dalang cederakan OCPD Dang Wangi diberkas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast