KUANTAN – Seorang doktor kerugian RM230,000 setelah diperdaya individu menyamar sebagai pegawai polis serta pendakwa raya.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa seorang wanita berusia 31 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai dari Pusat Kawalan Komunikasi Putrajaya pada 5 Ogos lepas.
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada pihak yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Polis serta Pendakwa Raya.
“Suspek telah mengugut mangsa kononnya terlibat dengan aktiviti Pengubahan Wang Haram serta menunjukkan Waran Tangkap palsu bagi meyakinkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Yahaya berkata, mangsa seterusnya diarahkan untuk melaporkan diri melalui aplikasi WhatsApp dan diminta membuat beberapa transaksi kewangan ke dalam akaun yang diberikan.
Disebabkan panik, mangsa menuruti arahan terbabit dan membuat lapan transaksi pindahan wang secara berperingkat ke beberapa akaun berbeza sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM230,000 dari tempoh 22 Ogos sehingga 29 Ogos lepas.
“Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan,” tambahnya lagi.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette
















