Pihak polis dan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki dipercayai orang kelainan upaya (OKU) maut selepas mengamuk dan menyerang ibunya dalam kejadian di rumah mereka di Lorong Pekaka, Gelugor di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, lelaki berusia 48 tahun itu dikatakan mengamuk di kediaman keluarganya sebelum bertindak memukul ibunya dengan tangan.

Difahamkan, bapa mangsa bersama dua lagi anak perempuan mereka cuba menenangkan keadaan, namun berlaku pergelutan.

Ketika pergelutan itu, mangsa dikatakan terjatuh dan berlumuran darah sebelum ahli keluarga segera menghubungi pihak polis.

Pakar patalogi HPP turut hadir di lokasi bagi membuat pemeriksaan sebelum mayat dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Susulan itu, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia, manakala pemeriksaan awal doktor pakar patologi juga mendapati tiada sebarang kecederaan berkaitan jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast