KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menafikan pegawainya menjadi orang tengah menawarkan perkhidmatan menguruskan perihal import dan eksport haiwan peliharaan dengan bayaran tertentu.
Jabatan tersebut berkata, pihaknya menerima aduan mengenai individu yang menyamar sebagai pegawai MAQIS untuk membantu menguruskan dokumen import dan eksport haiwan peliharaan dengan meminta sejumlah wang daripada orang ramai.
“Sehubungan itu, MAQIS ingin mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan memastikan semua urusan berkaitan hanya dilakukan melalui saluran rasmi iaitu ejen yang berdaftar dengan MAQIS,” katanya menerusi kenyataan.
Jelas MAQIS, setiap pembayaran rasmi mestilah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dengan dengan resit rasmi kerajaan.
Dalam masa yang sama, jabatan itu menasihatkan orang ramai supaya menghubungi pejabat MAQIS melalui talian 03-8870 8000 atau emel di [email protected] sekiranya meragui tindakan tertentu.
“MAQIS sentiasa komited dalam memastikan integriti serta ketelusan perkhidmatan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penipuan seperti ini,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















