Petugas parti membuat persiapan bagi Muktamar Tahunan PAS ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 11 September 2025.

ALOR SETAR – Muktamar Tahunan Ke-71 Pas yang secara rasmi bermula di sini hari ini, bakal menjadi medan perbahasan untuk menentukan kedudukan parti tersebut di peringkat nasional.

Ia termasuk sama ada Pas mahu terus membiarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengetuai Perikatan Nasional (PN) atau parti itu sendiri akan tampil lebih berani untuk mengetuai gabungan politik tersebut.

Menurut pensyarah politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, isyarat awal supaya Pas mengetuai PN sudah dibangkitkan beberapa pemimpin parti itu sebelum ini termasuk oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

Sehubungan itu, beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT menjangkakan perkara tersebut akan turut mendapat sokongan dalam perbahasan perwakilan Pas pada muktamar kali ini.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

“Dengan krisis dalaman yang sedang melanda Bersatu, tidak mustahil bagi Pas cuba memposisikan diri untuk mengetuai PN, sekali gus mempertaruh figura mereka sebagai calon Perdana Menteri seterusnya mewakili PN pada PRU-16.

“Tidak mustahil juga, perwakilan Pas akan lebih berani untuk mendesak supaya Pas lebih mendominasi PN khususnya pada peringkat Persekutuan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, tambah Mohd Yusri, muktamar kali ini juga dilihat bakal menjadi platform buat Pas untuk mempersiapkan parti tersebut bagi melangkah lebih jauh dalam politik negara.

Ujar beliau, Pas pada pilihan raya umum (PRU) lalu telah melakar kejayaan cemerlang dengan menguasai empat buah negeri, selain mempunyai Ahli Parlimen paling ramai di Dewan Rakyat ketika ini.

Sehubungan itu, ujarnya, Pas menerusi muktamar kali ini pastinya akan memberi tumpuan bagaimana untuk menguasai negeri-negeri lain pada PRU-16 khususnya Pahang, Selangor dan Perak.

Sementara itu, tambah Mohd Yusri, beliau turut menjangkakan Pas buat masa ini akan terus menggunakan jenama PN untuk terus melonjak dalam persada politik tanah air.

Disebabkan itu, jelasnya, meskipun terdapat beberapa isu dengan Bersatu khususnya tindakan parti itu yang secara unilateral menamakan Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM, namun ia dilihat tidak akan mengganggu usaha Pas untuk memperkukuhkan gabungan PN.

“Ini kerana PN memberi nilai tambah besar kepada Pas untuk melonjak sokongan berbanding sokongan asas yang mereka ada sebelum ini.

“Disebabkan itu, selain memperkuatkan Pas itu sendiri, muktamar kali ini juga bakal dijadikan medan muhasabah untuk memperkuatkan kerjasama dalam PN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast