Pasukan polis membawa keluar bahan-bahan bukti dari rumah warga emas yang ditikam hingga mati dalam kejadian di sebuah Pangsapuri Bandar Permaisuri, Cheras, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 24 tahun yang disyaki menikam bapanya di sebuah pangsapuri di kawasan Bandar Permaisuri, Cheras, awal pagi tadi telah ditahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Ridzuan Khalid berkata, mangsa yang berusia 62 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut beliau, polis menerima laporan kejadian tersebut pada jam 3.01 pagi tadi.

Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah tersebut.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras untuk proses bedah siasat.

Ridzuan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) telah dipohon dan reman dibenarkan selama tujuh hari mulai hari ini.

“Setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast