SERDANG – Kira-kira lapan peratus sahaja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang ditauliahkan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas menamatkan pengajian masing-masing.
Lantaran itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, pihaknya akan mempertingkatkan lagi silibus latihan Palapes bagi mempersiapkan pegawai kadet menghadapi cabaran masa depan.
Katanya, langkah itu tidak melibatkan rombakan keseluruhan, sebaliknya semakan semula bagi memastikan graduan memperoleh pemahaman lebih holistik dan melangkaui pengetahuan ketenteraan konvensional.
“Kita tidak akan mengubah semula silibus sepenuhnya, tetapi akan meneliti semula bagi memastikan ia mencerminkan apa yang kita mahukan apabila mereka menamatkan pengajian.
“Mereka mestilah memahami pekara secara holistik dan kita sedang menyiapkan silibus baharu ini serta berharap ia dapat dilaksanakan menjelang tahun depan,” katanya pada pemberita selepas Majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Palapes Universiti Awam (UA) ke-43 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Tambah Nizam, dalam silibus yang dipertingkatkan itu ATM juga akan menerapkan pegawai kadet dengan pengetahuan yang lengkap berkait kepentingan geopolitik dan diplomasi pertahanan.
“Ini kerana kejayaan Palapes pada hari ini berfungsi sebagai wadah perpaduan dalam melahirkan pemimpin masa depan.
“Baki daripada Palapes yang tidak meneruskan, mereka akan berkhidmat dalam bidang lain dan di sinilah kita melihat pendekatan ‘Whole Of Goverment, Whole Of Society’ (WoGoS) yang dilaksanakan.
“Kesemua kadet ini akan menjadi pemangkin perubahan, selain mereka mampu merealisasikan potensi untuk berkhidmat kepada negara dalam pelbagai kapasiti,” jelasnya.

Terdahulu, seramai 1,927 pegawai kadet Palapes dari 20 universiti awam seluruh negara ditaulihatkan sebagai Leftenan Muda dalam pasukan simpanan angkatan tentera.
Istiadat Perbarisan Pertauliahan Diraja disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang turut menyampaikan Pedang Kehormat kepada 39 Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap cawangan perkhidmatan.
Tengku Amir Shah juga menyampaikan skrol pentauliahan kepada pegawai yang baharu dilantik terdiri daripada 1,098 pegawai rendah Rejimen Askar Wataniah (RAW), 431 pegawai rendah Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM).
Ia termasuk 398 pegawai rendah Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM), yang diikuti oleh Pegawai Simpanan Sukarelawan Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM). – MalaysiaGazette
















