Pasukan anti narkotik Myanmar berjaya menumpaskan rangkaian penyeludupan dadah ke Malaysia. Foto The Global News Light

PHNOM PENH – Pasukan antinarkotik Myanmar berjaya menumpaskan sindiket dadah yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah dalam kuantiti besar ke Malaysia.

Sindiket itu lumpuh selepas enam suspek ditahan dalam operasi membanteras dadah di Perbandaran Shwepyitha, Yangon pada 5 Sept, lapor media The Global New Light of Myanmar pada Sabtu.

Polis menemukan 1,840 kilogram syabu (methamphetamine), empat juta pil perangsang dan 14 kilogram heroin yang disembunyikan di sebuah gudang.

“Kumpulan itu terlibat dalam pengedaran dadah berskala besar bagi mendapatkan dana untuk operasi mereka serta membeli senjata dan peluru.

“Dadah berkenaan dipercayai dibeli dari Negeri Shan dan diarahkan untuk dihantar ke Malaysia,” kata pihak berkuasa.

Laporan itu menyebut individu-individu berkenaan dikaitkan dengan kumpulan AA, merujuk kepada kumpulan bersenjata etnik Arakan Army.

Menurut penyiasat, pasaran dadah itu meliputi Bangladesh dan Malaysia hingga ke negara-negara Barat dan Asia Barat.

Pasukan kerajaan kini sedang berperang dengan sekurang-kurangnya 20 kumpulan etnik bersenjata di beberapa bahagian negara itu.

Dalam operasi sama pada Ogos, pil amphetamine, syabu dan ketamin dianggarkan bernilai RM300 juta (US$71 juta) berjaya dirampas selepas beberapa ketua sindiket ditahan.

Dalam operasi terbaharu ini, sekurang-kurangnya 20 suspek didapati terlibat dalam aktiviti narco-pengganas yang menggunakan laluan maritim untuk menyusup ke perairan Malaysia, menurut pegawai Myanmar.

Myanmar terus berdepan ancaman dadah walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi memusnahkan sindiket terancang di sebalik jenayah rentas sempadan itu.

Pada Jun lalu, sempena Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Haram, kerajaan memusnahkan dadah bernilai hampir RM1.26 bilion (US$300 juta) yang dirampas dalam operasi keselamatan.

Menurut Tinjauan Opium Myanmar 2022 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), penanaman opium di negara itu meningkat kepada 40,000 hektar berbanding 30,200 hektar tahun sebelumnya, dengan Negeri Shan kekal sebagai kawasan penanaman utama.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast