KUALA LUMPUR – Selepas mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, persatuan mahasiswa dan pihak institusi pengajian tinggi, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) tampil memberi penjelasan berhubung cadangannya agar program matrikulasi dimansuhkan.
Katanya, dalam kenyataan media sebelum ini, Umany menggunakan perkataan “mansuhkan” program matrikulasi yang mungkin telah menimbulkan salah faham banyak pihak.
Umany menjelaskan, maksud sebenar cadangan tersebut adalah menggabungkan program matrikulasi dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), berasaskan sukatan pelajaran STPM yang diiktiraf secara meluas termasuk di peringkat antarabangsa.
Justeru, mereka meminta maaf di atas kekeliruan yang timbul.
Persatuan mahasiswa Universiti Malaya itu turut menegaskan, cadangan yang dikemukakan pihaknya tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan isu perkauman.
“Tujuan sebenar ialah memperbaiki sistem sedia ada supaya lebih adil dan telus, sekali gus menyelesaikan punca ketidakadilan dalam pengambilan pelajar ke universiti.
“Ahli politik dan parti-parti tidak perlu memanipulasikan perkara ini sebagai isu kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Umany menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi supaya program matrikulasi dimansuhkan sebagai cara paling berkesan untuk menangani isu kuota kemasukan universiti.
Memorandum itu dikemukakan susulan laporan media mengenai Edward Wong, lepasan STPM yang memperoleh CGPA 4.0 serta bercita-cita menjadi akauntan, tetapi ditolak enam universiti.
Umany turut membangkitkan kebimbangan bahawa Wong pada awalnya ditawarkan kemasukan ke Universiti Malaya hanya melalui sistem pengambilan langsung “Satu”, yang dikatakan mencecah kos “sehingga 10 kali ganda lebih tinggi”.
Sementara itu, Umany menjelaskan cadangan peperiksaan bersepadu tetap akan mengambil kira keperluan golongan yang kurang bernasib baik bagi memastikan nilai keadilan sosial dizahirkan dalam proses kemasukan.
Kumpulan itu turut menegaskan bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini memberi isyarat cadangan itu boleh dinilai secara menyeluruh, sekali gus menunjukkan kementerian tidak menolak sepenuhnya, sebaliknya memerlukan lebih banyak kajian.
“Kami percaya bahawa apabila peperiksaan bersepadu dilaksanakan, kerajaan boleh menetapkan kuota khusus untuk membantu golongan yang memerlukan, agar mereka diberi keutamaan.
“Dalam masa yang sama, semua pelajar cemerlang dapat dibandingkan secara adil di platform yang sama, sekali gus menyelesaikan secara tuntas kontroversi pengambilan pelajar yang sering berlaku setiap tahun” kata Umany. -MalaysiaGazette

















Skejap mansuh, skejap bergabung. Lpas grad ko join DAP la apek.