MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan melakukan penambahbaikan terhadap tingkap tandas awam di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini bagi mengelak berlakunya perbuatan tidak bermoral.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, walaupun dalam tinjauannya bersama Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman pagi tadi melihat sukar untuk melakukan perbuatan mengintai, ia tidak mustahil boleh berlaku.
“Kalau dilihat kedudukan belakang tandas ini adalah ruang terbuka kerana kiri dan kanannya merupakan sudut pandang pengunjung taman riadah, jadi kemungkinan untuk intai itu sukar.
“Namun saya juga tak tolak kemungkinan itu, jadi hari ini kami berdua turun padang dan akan melakukan penambahbaikan untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Helmy (kanan) dan Shadan (kiri) membuat tinjauan di tingkap tandas awam di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini yang dikhuatiri orang ramai berisiko menjadi perbuatan tidak bermoral seperti mengintai atau merakamkan gambar pengunjung ketika menggunakan tandas.
Terdahulu semalam, tular video seorang pengguna TikTok merakamkan video menunjukkan terdapat kerusi diletakkan di belakang tandas awam berkenaan yang dikhuatiri digunakan untuk aktiviti tidak bermoral seperti merakam atau mengintai.
Mengulas lanjut, Helmy berkata, reka bentuk tandas berusia lebih 10 tahun itu berkonsepkan sistem pencahayaan dan pengudaraan secara semula jadi untuk menjamin kebersihan dan mengurangkan kos elektrik.
“Sebab itulah, rekaan tingkap dibuat sebegitu namun setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan melibatkan gangguan seksual seperti kerisauan diluahkan warga net itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















