Najwan Halimi

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa pemimpin PKR menerima ugutan berkait video lucah palsu kali ini perkara yang sama turut dihadapi Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu mendakwa dirinya menjadi mangsa terbaharu ugutan penyebaran video lucah palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Tangkap layar yang dikongsi Mohd Najwan menerusi kenyataan medianya pada Ahad.

Najwan berkata, beliau menerima e-mel berbaur ugutan daripada pihak tidak dikenali dua hari lalu yang memaparkan tangkap layar video palsu menyerupai wajahnya.

Beliau mendakwa turut diminta membayar wang tebusan berjumlah AS$100,000 (RM445,000) bagi mengelak video berkenaan disebarkan.

“Ugutan seumpama ini adalah jenayah serius yang bertujuan mengancam keselamatan serta menjatuhkan maruah saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyalahgunaan teknologi AI terbabit serta akan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Najwan berkata, modus operandi tersebut dipercayai sama seperti ugutan yang turut dialami Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan penipuan siber berasaskan teknologi terkini yang boleh mencemar maruah individu serta mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast