Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap sempena Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 SEPTEMBER 2025

ALOR SETAR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan gesaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng supaya bahasa Cina dan Tamil diajar terlebih dahulu di prasekolah milik Pas iaitu Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai `pemikiran kampung’.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian berkenaan, cadangan beliau supaya bahasa Cina dan Tamil diajar di sekolah kebangsaan lebih menjurus kepada satu dasar atau polisi pendidikan kebangsaan, bukan setakat menyentuh unit-unit kecil seperti Pasti.

“Cakap kepada DAP (Lip Eng), itu pemikiran kampung. Kita mahukan satu sistem dalam konteks negara.

“Sebab isu yang kita bincangkan adalah isu perpaduan kaum. Jadi bukan boleh diselesaikan dengan satu dua unit, ia mesti dikendalikan dalam satu polisi atau cadangan.

“Terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan atau tidak, ia sekadar idea,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Lip Eng yang menggesa supaya Pas memperkenalkan kelas bahasa Mandarin dan Tamil di Pasti sekiranya parti itu benar-benar ikhlas dengan cadangan untuk mengajar bahasa tersebut di sekolah kebangsaan.

Kenyataan Lip Eng itu susulan cadangan Tuan Ibrahim ketika berucap merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kali ke-10 semalam supaya kedua-dua bahasa itu diperkenalkan di sekolah kebangsaan bagi memupuk perpaduan.

Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut berkenaan cadangan beliau tersebut, Tuan Ibrahim berkata, cadangan itu bukan mandatori, sebaliknya boleh diikuti oleh mana-mana pelajar yang berminat untuk menguasai kedua-dua bahasa berkenaan.

Jelasnya, ia sebagai salah satu pendekatan dalam mengurangkan sensitiviti antara kaum.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan berkenaan kepentingan untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan supaya seluruh rakyat tanpa mengira kaum benar-benar menjadi warganegara Malaysia dalam konteks penguasaan bahasa. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast