ALOR SETAR – Tiada istilah ‘abang long’ dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam menentukan sesuatu dasar mahu pun peranan masing-masing untuk memastikan kemenangan gabungan itu dalam pilihan raya.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, semua komponen PN berhak memberikan cadangan termasuk parti yang layak menerajui gagasan itu berdasarkan kekuatan kerusi yang dimiliki ketika ini.
“Setiap kawan kita dalam PN, kita tak ada abang long. Kita tak macam pakatan-pakatan (politik) lain, dia ada abang long yang buat keputusan semua perkara (dasar).
“PN semua sama, semua berhak mencadangkan, ini menunjukkan demokrasi dalam PN dan inilah saya rasa pilihan yang rakyat patut pilih,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyambut baik usul Muktamar Dewan Pemuda Pas yang mencadangkan agar parti Islam itu menerajui PN berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.
Afnan juga merakamkan penghargaan kepada Hashim yang merupakan satu-satunya pimpinan Pas yang menyokong usul Dewan Pemuda Pas itu.
“Terima kasih kepada Tuan Guru Mursyidul Am kerana bersetuju dengan pandangan daripada Dewan Pemuda. Kita cadang sahaja sebab asasnya kita ada kerusi yang banyak dalam PN,” katanya.
Mengulas pandangan Hashim mengenai calon Perdana Menteri perlu dilantik menggunakan sistem Islam, Afnan berkata, selagi mana sistem demokrasi tidak bercanggah dengan syariat, beliau tiada halangan dalam soal itu.
“Secara asasnya, memanglah Islam tu ada kaedah nak pilih pemimpin, tapi kita di Malaysia ini Islam juga memberi ruang kepada sistem demokrasi.
“Selagi mana ianya tidak bercanggah dengan akidah, tak bercanggah dengan hukum syarat, kita pakai ruang demokrasi tu.
Katanya lagi, ada kaedah pemilihan pemimpin dilakukan mengikut demokrasi yang dibenarkan dan bercanggah dengan ajaran Islam.
“Setakat ini bagi Pas, saya rasa kita menerima sistem demokrasi di Malaysia itu sebagai sebahagian daripada kaedah yang dalam Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















