Anggota bomba menyelamatkan seorang remaja perempuan yang hampir pengsan ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang, pagi tadi.

KLUANG – Seorang remaja yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diselamatkan pihak bomba selepas hampir pengsan ketika mendaki Gunung Lambak di sini pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Kanan I Mohd Shamsul Amri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 9.13 pagi.

Sejurus itu katanya, lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Anggota pasukan kemudian terpaksa mendaki setinggi kira-kira 200 meter dari aras laut untuk mendapatkan mangsa bersama-sama tiga rakannya yang turut serta membuat pendakian.

“Sebaik sampai di lokasi didapati seorang remaja perempuan, Siti Norbaiyah Mohd Norizan, 17, dalam keadaan kepenatan dan hampir pengsan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihak bomba bertindak membawa turun mangsa menggunakan pengusung sebelum dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini menggunakan EMRS.

Menurut Mohd Shamsul lagi, pendakian menggunakan laluan satu lebih mencabar berbanding melalui laluan dua untuk mendaki Gunung Lambak setinggi 510 meter dari aras laut itu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast