HULU LANGAT – Penduduk Hulu Langat kini dihantui rasa bimbang dan takut setiap kali hujan kerana banjir kerap melanda kawasan tersebut sejak 10 tahun kebelakangan ini.
Ketakutan mereka semakin meningkat apabila banjir kilat yang melanda, lambat surut , sekali gus mengancam keselamatan mereka dan harta benda.
Muhammad Izzuan Hakimi, 29, berkata masalah utama di kawasan itu berpunca daripada sistem perparitan dan longkang yang kecil, sekali gus menyebabkan air lambat surut walaupun hujan sudah berhenti.

“Air mula naik sekitar jam 5 pagi selepas hujan berterusan dari jam 11 malam. Biasanya kalau banjir, pukul 1 atau 2 petang baru surut habis, jadi memang lambat.
“Longkang di sini kecil. Bila air masuk banyak, ia lambat surut sebab tak mampu tampung aliran. Saya dari kecil duduk di sini memang selalu kena banjir.
“Longkang-longkang yang menghala ke sungai perlu diperbesarkan, sungai juga perlu didalamkan lagi. Kalau tidak, banjir akan terus berulang,” jelasnya.
Izzuan menambah, meskipun pihak berkuasa pernah datang meninjau keadaan, tiada tindakan menyeluruh dilaksanakan sehingga kini, menyebabkan penduduk berterusan hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat turun.

Sementara itu, Mohd Zaidi Md Dzahir, 42, yang baru dua bulan menetap di Hulu Langat mengakui terkejut apabila sudah dua kali terkesan dengan banjir walaupun hujan tidak terlalu lebat.
“Dalam dua bulan duduk sini, dah dua kali banjir. Hujan kali ini pun tak lebat, cuma lama. Air naik sampai paras pinggang. Enam motosikal rosak termasuk milik pelanggan kawan saya, selain perabot rumah habis musnah.
“Saya tengok sendiri sungai betul-betul rata dengan jalan, memang tinggi. Air pula tak ada jalan keluar, mungkin sebab pintu empangan tak dibuka awal.
“Orang sini pun cakap benda sama, jadi air bertakung. Kalau pintu dibuka, sepatutnya air boleh turun lebih cepat,” katanya.

Zaidi menambah, keadaan itu amat membebankan kerana setiap kali banjir, penduduk terutama di kawasan rendah akan menjadi mangsa, terpaksa menanggung kos baik pulih kenderaan dan kerugian harta benda.
“Setiap kali banjir, barang rumah kena tukar semula. Penduduk lama di sini sudah biasa, tapi saya pelik macam mana mereka boleh hadap keadaan ini tiap tahun. Memang letih nak bersihkan rumah setiap kali air naik.
“Kami harap pihak berkuasa lebih bertanggungjawab. Jangan biarkan masalah ini berulang sebab ia betul-betul membebankan semua penduduk,” tambahnya.
Dalam pada itu, Baharrudin Mokhtar, 57, yang sudah menetap di kawasan itu sejak tahun 1993 berkata, dulu banjir jarang berlaku dan sekiranya berlaku pun, paras air akan surut dengan pantas.

“Sepatutnya menjelang tengah hari air sudah surut, tetapi kali ini lambat sangat. Minggu lepas banjir berlaku juga, tapi air cepat turun. Kali ini sampai tengah hari pun masih tinggi.
“Mungkin ada kaitan dengan pintu empangan yang tidak dibuka pada masa sepatutnya. Kalau empangan dibuka lebih awal, air boleh turun cepat, tapi nampaknya ia tidak berlaku,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menambahkan keresahan penduduk kerana mereka bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian berulang kali, malah tidak melihat sebarang tindakan tuntas daripada pihak berwajib.

“Kita ada wakil rakyat, sepatutnya masalah ini boleh diusulkan di Parlimen untuk cari penyelesaian. Tapi jarang nampak mereka turun padang. Bila banjir berlaku, penduduk juga yang menanggung kesusahan,” tambahnya.
Lantaran itu, mereka menuntut penyelesaian menyeluruh bagi mengatasi masalah banjir berulang ini, termasuk memperbesarkan sistem longkang, memperdalamkan sungai serta memastikan pintu empangan dibuka pada masa yang tepat.
Mereka turut berharap wakil rakyat lebih serius membawa isu ini ke peringkat Parlimen agar suara penduduk tidak lagi diabaikan, sekali gus mengakhiri derita banjir yang menghantui mereka saban tahun. – MalaysiaGazette
















