JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang difahamkan tinggal berjauhan dengan isteri tidak dapat mengawal nafsunya apabila ditangkap khalwat dengan seorang wanita warga asing dalam serbuan di sebuah hotel di bandar raya ini malam tadi.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memberitahu, dalam serbuan tersebut pihaknya menahan lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita dipercayai pelacur.
Katanya, siasatan mendapati lelaki tempatan tersebut sudah berkeluarga dan tinggal berjauhan dengan anak dan isteri di negeri lain.
“Wanita berkenaan pula dikesan memiliki pasport lawatan sosial dengan rekod keluar masuk negara setiap bulan.
“Siasatan turut mendapati, wanita itu menggunakan media sosial untuk mencari pelanggan berdekatan dengan menawarkan perkhidmatan seks berbayar, berselindung di sebalik promosi tukang urut,” menurut kenyataan tersebut.
Jelas JAINJ, wanita berkenaan menggunakan aplikasi dalam internet untuk mencari pelanggan berdekatan.
JAINJ menegaskan, operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras kegiatan tidak bermoral di Johor.- MalaysiaGazette
















