KUALA LUMPUR – Lebih 10 organisasi antarabangsa kini menunggu proses audit bagi mendapatkan pengiktirafan halal Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju standard halal global.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, negara yang terlibat termasuk China, Rusia serta beberapa negara Balkan.
Menurut beliau, keterbukaan Malaysia dalam berkongsi ilmu dan maklumat mengenai pensijilan halal menjadi faktor utama mengapa standard halal negara ini mendapat pengiktirafan tinggi oleh industri dan pengguna antarabangsa.
“Pensijilan halal Malaysia bukan sahaja dilihat pada kualiti produk, tetapi lebih penting ialah tahap kepercayaan yang sangat tinggi berbanding negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Halal Certification Bodies Convention (HCBC) ke-15, salah satu program utama di bawah Global Halal Summit (GHaS) 2025 yang bermula hari ini.

Sirajuddin menjelaskan, HCBC berperanan sebagai platform penting bagi badan pensijilan halal, sama ada yang telah diiktiraf atau belum, untuk berkongsi ilmu serta perkembangan terkini termasuk aspek kompetensi auditor teknikal dan syariah yang perlu mematuhi garis panduan Malaysia.
Setakat Ogos lalu, katanya, sebanyak 93 badan pensijilan halal di 48 negara telah diiktiraf, meningkat 33 badan berbanding sebelumnya.
“Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam membina kerjasama halal di peringkat global serta memperkukuh komuniti halal antarabangsa. Malaysia sentiasa terbuka berkongsi kepakaran dalam aspek audit dan standard halal yang dibangunkan negara ini.
“Aspek integriti dan keseragaman piawaian halal amat penting untuk manfaat umat Islam serta masyarakat bukan Islam di seluruh dunia,” katanya.
Beliau menambah, konvensyen itu turut memberi peluang badan pensijilan luar negara bertemu secara langsung dengan JAKIM bagi mendapatkan pengetahuan terkini mengenai garis panduan dan standard Malaysia.
“Setiap tahun mereka menantikan konvensyen ini untuk menimba ilmu. Malah, kita turut menyediakan Technical Capacity Development Program bagi meningkatkan kompetensi auditor di negara masing-masing. Ini penting kerana pengguna sering mempersoalkan tahap kompetensi badan pensijilan luar negara yang diiktiraf Malaysia,” jelasnya.
GHaS 2025 turut menampilkan pelbagai wacana berprestij membincangkan hala tuju, cabaran dan masa depan industri halal, termasuk aspek teknologi, fatwa kontemporari dan keselamatan makanan sejajar tuntutan semasa.
Antara program utama ialah HCBC, International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP)serta Global Halal Talk (GHT) yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 16 hingga 17 September.
Acara kemuncak lain termasuk Global Halal Business Conference (WHBC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) serta Malaysia International Halal Research and Education Conference (MHIREC) 2025 yang dijadualkan di Putrajaya dan MITEC, Kuala Lumpur.
GHaS 2025 berlangsung selama 11 hari bermula 16 hingga 26 September, menghimpunkan penyertaan lebih 50 negara serta ratusan badan pensijilan halal antarabangsa, sekali gus menegaskan kedudukannya sebagai platform rujukan utama industri halal di peringkat global. – MalaysiaGazette
















