Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Sebanyak 6,684 notis advokasi dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dalam Operasi Patuh Undang-Undang (Ops PUU) yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam tempoh dua hari.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, daripada jumlah itu, 6,284 notis dikeluarkan melalui operasi harian manakala 400 lagi menerusi Ops Didik yang memberi tumpuan khusus kepada pelajar sekolah.

Beliau menjelaskan, daripada keseluruhan notis yang dikeluarkan, penunggang motosikal merupakan kumpulan terbesar yang menerima tindakan advokasi dengan 3,132 notis, diikuti pemandu kereta (2,813).

Selain itu, pemandu van menerima 120 notis, lori (103), teksi (182) manakala pejalan kaki mencatatkan 334 notis.

“Kesalahan paling tinggi yang direkodkan sepanjang tempoh itu ialah halangan lalu lintas dengan 3,134 kes. Kesalahan lain pula termasuk kenderaan tiada cermin sisi, tiada cukai jalan, tayar botak dan tiada penutup rantai yang mencatatkan 1,632 kes.

“Selain itu, terdapat 494 kes mengabaikan isyarat lalu lintas, 380 kes berhenti di petak kuning, 411 kes membabitkan nombor plet kotor, kabur atau ‘fancy’, 328 kes tidak memakai tali pinggang keledar serta 305 kes tidak memakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Fadil, Ops PUU bukan hanya memberi fokus kepada tindakan penguatkuasaan, sebaliknya turut menekankan aspek pendidikan melalui kempen advokasi yang telah bermula sejak 6 September lalu di beberapa jalan utama sekitar ibu negara.

“Pendekatan advokasi ini bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai kepentingan mematuhi undang-undang lalu lintas, khususnya di kawasan pusat bandar yang sentiasa sibuk.

“Ops PUU akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya di Kuala Lumpur berada pada tahap terbaik. Selepas fasa advokasi ini, tindakan saman akan diambil terhadap mereka yang masih ingkar,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan mendidik pengguna jalan raya adalah sebahagian daripada strategi polis untuk mengurangkan kadar kemalangan selain meningkatkan keselamatan awam serta memastikan kelancaran trafik di ibu negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast