Jimmy Puah menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Permas Jaya, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse tampil membuat laporan di Balai Polis Permas Jaya, di sini, hari ini selepas menerima e-mel berunsur ugutan yang mendakwa memiliki gambar menyerupai dirinya bersama-sama seorang individu lain atas katil.

Menurutnya, beliau menerima e-mel tersebut pada pukul 5.50 petang semalam ketika berada di rumahnya di Wateredge Residences, Senibong Cove di sini.

Kandungan e-mel itu turut menyertakan gambar yang didakwa sebagai tangkap layar daripada sebuah video, selain menuntut wang tebusan berjumlah USD100,000 (RM420,650).

Wee Tse berkata, penghantar e-mel tersebut turut mengugut untuk menyebarkan gambar tersebut ke pelbagai platform sekiranya tuntutan yang dikemukakan tidak dipenuhi dalam tempoh tiga hari.

“E-mel ini berunsur ugutan kerana mengandungi video lucah palsu menggunakan wajah saya dan disunting dengan teknologi AI (kecergasan buatan).

“E-mel ini juga bertujuan mencemarkan reputasi saya dan memberikan lagi tekanan politik kepada saya.

“Oleh itu saya berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera termasuk menggubal undang-undang bagi membendung salah guna teknologi Ai ini.

“Saya percaya pelaku membuat hantaran dari luar negara,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.

Menurut Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu, beliau turut diberikan kod QR sebagai kaedah pembayaran dengan semua tulisan e-mel menggunakan bahasa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi berkata, kes tersebut masih dalam siasatan.

“Siasatan dijalankan bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast