KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki warga asing dalam dua serbuan berasingan di sekitar Tawau, Sabah selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam kenyataan berkata, operasi dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tanjung Batu Tengah.
“Hasil pemeriksaan menemui 12 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.54 gram yang disimpan dalam kotak rokok milik suspek.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki berusia 27 tahun itu positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya.
Menurut kenyataan itu, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada 14 September lalu di sebuah pondok di Kampung Sri Menanti, seorang lagi lelaki warga asing berusia 29 tahun turut ditahan.

“Pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.30 gram.
“Ujian air kencing juga mendapati suspek positif Amphetamine dan Methamphetamine,” jelasnya – MalaysiaGazette
















