MERSING – Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman bersama-sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor berjaya menumpaskan cubaan menyimpan harimau belang mati dalam satu serbuan di Felda Tenggaroh, di sini, hari ini.
FRU dalam satu kenyataan memberitahu, menerusi Operasi Bersepadu Khazanah itu pasukan risikannya bertindak hasil maklumat awam dengan melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
“Pemeriksaan menemukan seekor harimau belang mati iaitu jenis Panthera Tigris Jacksoni, dipercayai diburu secara haram.
“Tiga lelaki berusia 28 hingga 49 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang permit khas untuk memiliki atau menyimpan spesies yang dilindungi sepenuhnya itu,” menurut kenyataan berkenaan, hari ini.
FRU memaklumkan, turut dirampas dalam operasi itu seekor harimau belang mati, Perodua Alza terbabit, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama.
Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing untuk dokumentasi dan tindakan lanjut bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Menurut siasatan awal, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM294,007 termasuk haiwan, kenderaan dan peralatan komunikasi.
“Harimau belang tersebut turut dilaporkan mengalami kecederaan serius dipercayai akibat jerat serta enam kesan tembakan di kepala yang menjadi punca kematian,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, kejayaan operasi itu membuktikan peranan risikan FRU semakin kukuh dalam mengekang jenayah pemburuan haram.
“Harimau belang adalah khazanah negara yang tidak ternilai. Kehilangannya akibat kerakusan manusia adalah pengkhianatan kepada warisan bangsa.
“Risikan FRU akan terus berada di barisan hadapan dan berganding bahu dengan agensi sahabat untuk memastikan setiap khazanah negara dipertahankan.
“Kami beriltizam untuk membanteras pemburuan haram tanpa kompromi kerana inilah amanah yang dipikul demi kelestarian alam dan generasi akan datang,” katanya.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman Perhilitan Johor untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 70 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar tanpa permit khas.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemburuan atau pemerdagangan hidupan liar. – MalaysiaGazette
















