Gambar ini menunjukkan kenderaan tentera Israel berada berhampiran pagar sempadan wilayah Gaza yang dikepung pada 16 September 2025. (Foto oleh Menahem KAHANA / AFP)

GAZA – Israel melancarkan serangan darat yang lama dinanti ke atas Bandar Gaza sebelum subuh pada Selasa, tidak lama selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, menyatakan sokongan terhadap matlamat Israel untuk membasmi Hamas di Gaza.

Dalam masa yang sama, satu siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel melakukan “pembunuhan beramai-ramai” di wilayah Palestin itu serta menuduh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan beberapa pegawai kanan lain menghasut jenayah tersebut.

Sepanjang malam, tentera Israel melepaskan serangan pengeboman besar-besaran ke atas Bandar Gaza ketika pasukan darat mara lebih jauh ke pusat bandar utama wilayah berkenaan.

“Semalam kami beralih ke fasa seterusnya, iaitu fasa utama pelan untuk Bandar Gaza… Pasukan kini telah memperluaskan operasi darat ke kubu utama Hamas di Gaza, iaitu Bandar Gaza,” kata seorang pegawai tentera kepada wartawan.

“Kami sedang bergerak ke arah pusat bandar Gaza,” katanya. Apabila ditanya sama ada tentera sudah memasuki kawasan tengah Bandar Gaza, beliau menjawab: “Ya.” Tentera menganggarkan terdapat antara 2,000 hingga 3,000 militan Hamas beroperasi di kawasan itu.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pula menyifatkan Bandar Gaza kini “berapi”.

“IDF (tentera Israel) sedang menghentam infrastruktur pengganas dengan tangan besi, dan para tenteranya berjuang dengan berani bagi mewujudkan syarat yang perlu untuk pembebasan tebusan dan kekalahan Hamas,” katanya.

Saksi memberitahu AFP bahawa Bandar Gaza dibom tanpa henti, sedangkan kebanyakan kawasan itu sudah pun musnah akibat hampir dua tahun serangan Israel sejak serangan Hamas pada Oktober 2023 yang mencetuskan perang.

“Kami boleh mendengar jeritan mereka,” kata Ahmad Ghazal, 25 tahun, penduduk tempatan.

Rubio pada Isnin memberi sokongan penuh kepada serangan itu ketika bertemu Netanyahu, yang mengarahkan tentera Israel menawan Bandar Gaza.

“Kami rasa kami hanya ada tempoh yang sangat singkat untuk mencapai persetujuan. Bukan lagi berbulan-bulan, mungkin hanya tinggal beberapa hari atau minggu,” katanya sebelum berlepas meninggalkan Israel.

Rubio menegaskan penyelesaian diplomatik di mana Hamas menyahsenjata adalah keutamaan AS, walaupun beliau menambah: “Kadangkala apabila berdepan dengan kumpulan liar seperti Hamas, itu tidak mungkin berlaku, tetapi kami berharap ia dapat dicapai.”

Dalam pertemuan di Jerusalem pada Isnin dengan keluarga tebusan di Gaza, Rubio mengakui Hamas mempunyai kelebihan kerana menahan mereka.

“Kalau tidak ada tebusan dan orang awam yang terperangkap, perang ini sudah lama berakhir setahun setengah lalu,” katanya di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv.

Namun, kumpulan wakil keluarga tebusan berkata mereka “terlalu takut” dengan nasib orang tersayang selepas Netanyahu mengarahkan serangan.

“Beliau melakukan segala-galanya untuk memastikan tiada perjanjian tercapai dan tidak membawa mereka pulang,” kata kenyataan kumpulan itu.

‘Pembunuhan beramai-ramai’

Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB (COI), yang tidak mewakili badan dunia itu secara rasmi dan sering dikritik Israel, mendapati bahawa “pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di Gaza dan terus berlaku,” kata pengerusinya, Navi Pillay, kepada AFP.

“Tanggungjawab terletak pada Negara Israel.”

Penyiasat berkata kenyataan jelas oleh pihak berkuasa awam dan tentera Israel, bersama corak tindakan tentera Israel, “menunjukkan bahawa perbuatan pembunuhan beramai-ramai dilakukan dengan niat untuk memusnahkan… rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sebagai satu kumpulan.”

Laporan itu menyimpulkan bahawa Netanyahu, Presiden Isaac Herzog dan bekas menteri pertahanan Yoav Gallant telah “menghasut perlakuan pembunuhan beramai-ramai.”

Israel berkata ia “sama sekali menolak laporan yang memesongkan dan palsu ini” dan mendesak “pembubaran segera” COI.

Sebelum berlepas ke Qatar, Rubio menyatakan harapan agar sekutu AS itu terus meneruskan usaha menjadi pengantara Gaza, meskipun Israel baru-baru ini menyerang pemimpin Hamas yang berkumpul di Doha untuk menimbang cadangan gencatan senjata oleh AS.

“Kami mahu mereka tahu, jika ada mana-mana negara di dunia yang boleh membantu mengakhiri perkara ini melalui rundingan, ia adalah Qatar,” kata Rubio.

Agensi pertahanan awam Gaza berkata sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh akibat serangan Israel pada Selasa.

Sekatan media di wilayah itu serta kesukaran untuk mengakses banyak kawasan bermakna AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas butiran yang diberikan oleh agensi pertahanan awam mahupun tentera Israel.

Menjelang usaha iktiraf negara Palestin

Lawatan Rubio diadakan seminggu sebelum Perancis mengetuai sidang kemuncak PBB di mana beberapa kerajaan Barat, yang marah dengan apa yang mereka anggap sebagai keengganan Israel, merancang untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin.

Rubio menyifatkan pengiktirafan negara Palestin sebagai “hanya simbolik”, manakala Netanyahu – yang kerajaannya keras menentang langkah itu – berkata Israel mungkin mengambil “tindakan unilateral” sebagai tindak balas.

Serangan Hamas pada Oktober 2023 mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Kempen balas Israel di Gaza pula telah meragut sekurang-kurangnya 64,905 nyawa, juga kebanyakannya orang awam, menurut angka daripada Kementerian Kesihatan Gaza yang dianggap boleh dipercayai oleh PBB. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast