Peguam Muda Amanah, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda.

JOHOR BAHRU – Tindakan MCA menunggang isu kemasukan Unit Pusat Universiti (UPU) yang melibatkan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) baru-baru ini hanya akan menyalakan sentimen perkauman.

Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, tindakan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mencetuskan keresahan rakyat.

“MCA harus sedar, tidak semua keresahan rakyat itu boleh ditunggang untuk agenda sendiri. Menunggang kesusahan individu hanyalah kerja murahan, umpama menabur garam ke luka demi mencari sorakan.

“Jabatan Pendidikan Tinggi sudah memberikan penjelasan. Pelajar berkenaan tetap mendapat tawaran universiti, namun kursus yang dipohon amat terhad dan kompetitif,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengadakan sidang media bersama-sama pelajar cemerlang, Edward Wong yang kecewa kerana tidak mendapat tempat di Universiti Malaya (UM), walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM.

Meskipun Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPT), Azlinda Azman tampil memberi penjelasan berasas, namun Ka Siong dilihat tidak berpuas hati.-

Mengulas lanjut, Fadhli Umar berkata, sistem UPU mengambil kira bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga kapasiti program, pilihan kursus, dan peluang rayuan.

Menurutnya, sudah jelas ditunjukkan bahawa ia bukan diskriminasi terancang sebaliknya adalah realiti proses penempatan puluhan ribu permohonan setiap tahun.

“Kendatipun kita juga tidak boleh menutup mata, kita perlu akui bahawa sistem UPU juga ada kelemahannya. Isu ini boleh dielakkan dengan lebih awal jika pihak kementerian lebih telus dalam soal data dalam UPU.

“Seperti yang ditegaskan Architects of Diversity (AoD) dalam kajian mereka, jika data permohonan, penawaran dan pengambilan diumum secara terbuka, rakyat dapat menilai dengan adil, tambahan ahli politik tidak lagi bebas mencipta naratif kaum kerana data telah menceritakan segala galanya,” ujarnya.

Tambah Fadhli Umar, ketelusan adalah kunci untuk mengelakkan kes UPU dimanipulasi semula.

Diskriminasi katanya, memang ada dan wajib diperangi namun mengada-adakan diskriminasi adalah suatu bentuk kebodohan yang perlu diperangi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast