Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lima laporan berhubung kenyataan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) yang menggesa pemansuhan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, laporan pertama diterima pada 12 September lalu manakala empat lagi laporan dibuat oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut.

“Kenyataan berkenaan didapati boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat serta kegentaran awam.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan mengeluarkan kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dengan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya.

Kenyataan UMANY itu mengundang bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang mempertahankan program matrikulasi sebagai laluan penting ke pendidikan tinggi.

Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, kenyataan itu bukan pendirian rasmi universiti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast