Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan menyampaikan ucapan pada sesi penggulungan usul sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 SEPTEMBER 2025.

ALOR SETAR – Pas tidak bersetuju dengan hasrat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya semua calon PN pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) menggunakan logo yang sama.

Malah, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menyifatkan hasrat Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendahului keputusan bersama dalam PN.

Jelas beliau, sebagai sebuah gabungan yang mana setiap parti adalah setara, sebarang keputusan sama ada berkenaan penggunaan logo atau calon Perdana Menteri ke-11 seharusnya dibuat menerusi Majlis Tertinggi PN.

“Kita adalah rakan yang setara (equal partner) dalam PN, tidak ada abang besar atau abang kecil.

“Jadi bagi Pas apa-apa berkenaan keputusan yang perlu dibuat oleh Pengerusi PN atau sesiapa sahaja dalam PN, mesti melalui Majlis Tertinggi PN.

“Sebab itu kita agak tidak bersetuju dengan apa-apa pengumuman sama ada berkenaan calon Perdana Menteri dan sebagainya (penggunaan logo pada PRU-16),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirnya Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Markas Pas Kedah, di sini, hari ini.

Semalam, Muhyiddin secara peribadi melahirkan harapan supaya logo PN menjadi logo tunggal bagi calon mereka pada PRU-16.

Menurut Muhyiddin, ia mengambil kira penjimatan kos selain memudahkan daripada segi urusan logistik serta untuk mengelak kemungkinan masalah yang timbul sekiranya beberapa logo berbeza digunakan oleh calon PN.

Bagaimanapun, ujarnya, perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan dan keputusan muktamad mengenainya akan ditentukan menerusi mesyuarat tertinggi PN.

Pada PRU-15, kesemua calon PN di Kedah dan Perlis termasuk ahli Pas dan Bersatu bertanding menggunakan logo PN, manakala calon PN di Terengganu dan Kelantan menggunakan logo Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast