KUALA LUMPUR – Mayat mangsa runtuhan kuari di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, Pahang berjaya ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat masuk hari ke-4, hari ini.
Menurut Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia (JBPM) Pahang, mangsa ditemukan oleh pasukan bomba dan pekerja kuari pada kedalaman lima meter, 40 kaki dari tempat jatuh pada jam 4.15 petang tadi.
“Operasi hari ini bermula jam 8 pagi dengan pemecahan (breaker) bongkah batu di bahagian bawah bagi persediaan menarik tanah di kawasan spot ke bawah.
“Pengalihan batu-batu diselangi dengan pemeriksaan oleh Unit K9 JBPM dan unit K9 PDRM dari Kuantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, dua jengkaut pihak kuari digunakan untuk memecah dan membuang bongkahan batu di kawasan seluas 60 kaki persegi.
Secara keseluruhan, kawasan pencarian adalah seluas 140 kaki persegi dengan jumlah anggaran batu yang telah dialihkan adalah seberat 30 tan metrik.
Malaysia Gazette melaporkan sebelum ini, seorang pekerja kuari dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di sebuah kuari di Ulu Gali, Sungai Ruan Raub, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa sedang mengendalikan sebuah jengkaut di lokasi kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari sebelum berlaku runtuhan batu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Runtuhan kuari di Raub: 15 tan batu dialihkan, mangsa belum ditemui
















