KULAI – Suspek yang didakwa mencabul seorang budak perempuan di sebuah kopitiam di Batu 19, di sini, kelmarin dipercayai kini sedang bersembunyi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya sedang berusaha memburu suspek berdasarkan gambar dan maklumat yang diterima.
“Kes masih dalam siasatan polis,” katanya mengulas mengenai perkembangan terkini kes tersebut yang tular dalam media sosial.
Ditanya mengenai ada netizen yang menawarkan RM3,000 dan menyuruh memukul suspek jika berjumpanya, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri yang melanggar undang-undang.
“Pihak polis tidak terima apa-apa aduan atau laporan berkaitan perkara ini (tawaran tersebut),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Seng Lee dilaporkan berkata, pihaknya sedang memburu seorang lelaki yang didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang berusia sembilan tahun.
Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut yang berlaku pada pukul 7.30 petang.
“Kes disiasat bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahaan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” kata Seng Lee.- MalaysiaGazette
















