KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM5 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang beroperasi melalui media sosial.
Mangsa berusia lingkungan 60-an itu dilaporkan terpedaya dengan tawaran pelaburan palsu dikenali sebagai ‘ELTFV ‘ yang diperkenalkan kepadanya menerusi Facebook serta kumpulan pelaburan atas talian “AB4 Trend Navigation”.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sindiket terbabit menggunakan taktik memperdaya mangsa dengan memaparkan keuntungan awal bagi meyakinkan pelabur sebelum meminta mereka membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank tempatan yang dikawal sindiket.
“Mangsa membuat transaksi pertama bernilai RM10,000 pada Julai lalu, sebelum meneruskan beberapa pembayaran sehingga Ogos, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM5,030,970.
“Namun, apabila mangsa cuba mengeluarkan wang pokok dan keuntungan, aksesnya disekat.
“Semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia kemudian mengesahkan platform berkenaan tidak berdaftar serta disenaraikan sebagai entiti pelaburan tidak sah,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette















