Unit Risikan FRU Bukit Aman bersama Perhilitan berjaya menumpaskan cubaan menyimpan bangkai harimau belakang dalam serbuan di Mersing, kelmarin.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menyatakan pendirian tegas untuk membanteras aktiviti pemburuan haram susulan penahanan tiga lelaki bersama-sama bangkai harimau belang di Felda Tenggaroh, Mersing, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, aktiviti pemburuan haram mengancam kelestarian harimau belang.

Kata beliau, operasi baru-baru ini dilaksanakan dengan kerjasama Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.

“Dalam Operasi Khazanah Bersepadu itu, pihak berkuasa berjaya merampas barangan kes bernilai RM294,007 termasuk bangkai harimau, sebuah kenderaan dan telefon bimbit.

“Suspek kini direman di bawah Seksyen 70(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pemburuan kejam itu merupakan jenayah serius kerana harimau belang adalah khazanah negara yang amat bernilai serta simbol warisan yang wajib dipertahankan.

“Kerajaan Johor akan memperkukuh penguatkuasaan, mempertingkat risikan serta memastikan kerjasama erat dengan agensi berkaitan,” jelasnya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar segera melaporkan maklumat berkaitan aktiviti pemburuan haram kepada pihak berkuasa.

Semalam Unit Risikan FRU Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bersama Perhilitan Johor berjaya menumpaskan cubaan menyimpan harimau belang mati dalam satu serbuan di Felda Tenggaroh, Mersing. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast