Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Laluan matrikulasi terus menjadi salah satu saluran berkesan dalam melahirkan pelajar berdaya saing dan bersedia melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa sistem matrikulasi telah terbukti sejak beberapa dekad sebagai salah satu laluan elit seiring dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Program Asasi yang sah.

Saluran ini juga diiktiraf setara dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada pelajar di seluruh negara.

“Sistem matrikulasi negara terus menjadi wadah dan platform untuk memastikan peluang pendidikan dapat dinikmati oleh pelajar daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Sistem kemasukan universiti awam (UPU) turut dilaksanakan secara meritokrasi dengan pendekatan holistik yang bukan sahaja menilai pencapaian akademik, malah turut mengambil kira penglibatan kokurikulum serta faktor sosioekonomi keluarga.

“Pendekatan ini memastikan akses yang adil dan seimbang kepada pendidikan tinggi bagi semua lapisan masyarakat.

“Ini sekali gus seiring dengan aspirasi kerajaan memperkukuh sistem pendidikan inklusif, adil dan berintegriti,” tambahnya.

UTeM dalam masa sama akan terus komited sebagai universiti teknikal berprestij yang memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju negara berasaskan kejuruteraan serta teknologi mampan.

Menurut kenyataan itu, UTeM sebelum ini turut dinobatkan sebagai universiti awam terbaik TVET negara merentasi sempadan global, selain selari dengan Pelan Strategik UTeM, Pendidikan Tinggi Negara 2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pencapaian ini adalah hasil komitmen berterusan terhadap kecemerlangan akademik, akses pendidikan yang adil dan pembangunan negara secara inklusif.

“UTeM akan sentiasa menyokong dasar pendidikan negara yang berteraskan prinsip keadilan, kebolehcapaiannya serta pembangunan modal insan demi masa depan dan kemajuan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast