Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Sungai Baru perlu segera memfailkan satu permohonan di mahkamah untuk mengenepikan perintah mahkamah sebelum ini yang membenarkan pemaju mengusir dan merobohkan rumah mereka.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana kes Kampung Sungai Baru itu belum benar-benar selesai selain merungkai kekusutan undang-undang dalam menangani kes tersebut.

Jelasnya, terdapat permohonan rayuan penduduk di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dimaklumkan akan didengar pada 3 Oktober ini.

“Kerajaan Persekutuan yang mentadbir sekarang perlu membawa ke Parlimen untuk menyelesaikan beberapa perkara perundangan berkait undang-undang tanah dalam kes Kampung Sungai Baru ini.

“Pertamanya, adakah sah pewartaan tanah-tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 ketika negara diisytiharkan darurat?

“Pasa masa itu Parlimen Malaysia digantung dan Jemaah Menteri tidak bermesyuarat kerana perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, perkara kedua, Parlimen perlu meneliti dan menyemak Kanun Tanah Negara dibaca bersama-sama dengan Kaedah-Kaedah Mahkamah.

“Adakah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan berkenaan peruntukan melindungi dan menghormati harta benda rakyat seperti rumah dan tanah dipatuhi seperti di Kampung Sungai Baru, satu perintah ex-parte yang diberikan bukan oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi.

“Sebaliknya hanya diberikan oleh seorang Penolong Kanan Pendaftar mahkamah memberikan legitimasi atau keabsahan untuk penduduk yang bukannya setinggan diusir dari rumahnya dan bangunan rumah mereka dirobohkan,” katanya.

Justeru kata Hassan, peranan Parlimen adalah penting sekarang di bawah prinsip pemisahan kuasa untuk menyemak sama ada pihak eksekutif yang dipanggil kerajaan dan pihak kehakiman atau mahkamah telah melakukan kesilapan masing-masing sehingga ketidakadilan ditanggung penduduk di kampung itu.

Mahkamah ujarnya, juga sama seperti Parlimen dan badan eksekutif yang dipanggil kerajaan tidak sunyi daripada membuat kesilapan.

Sebab itu wujud prinsip kenegaraan yang dipanggil pemisahan kuasa antara tiga cabang iaitu eksekutif, Parlimen dan kehakiman, katanya.

“Penjelasan ini perlu dibuat untuk menganalisa kekusutan undang-undang, kemungkinan kesilapan mahkamah dan kecuaian kerajaan dalam kes tanah dan rumah sehingga penduduk yang terlibat tidak mendapat keadilan,” katanya.

Tambahnya, apa yang disuarakan dan dijelaskan adalah panduan tentang langkah yang patut dilakukan penduduk terlibat dan masih ingin menuntut hak dan keadilan untuk mereka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast