Datuk Mohd Rosli ketika menyampaikan ucapan beliau pada majlis amanat sempena genap setahun kepimpinannya di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Reformasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dibawah kepimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi impak besar kepada kesiapsiagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui penaiktarafan dan pertambahan aset baharu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, penekanan KDN terhadap aset agensi itu jelas memperlihatkan sokongan padu kerajaan terhadap pengukuhan operasi maritim negara.

“KDN memberi perhatian serius terhadap keupayaan Maritim Malaysia dan dengan pertambahan aset, rondaan dapat dipertingkat, aktiviti jenayah maritim dapat dibanteras dengan lebih berkesan,” katanya pada Majlis Amanat Sempena Senap setahun kepimpinannya sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia hari ini.

Antara aset Maritim Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, kekuatan aset baharu yang diterima membuktikan reformasi KDN diterjemahkan dalam bentuk tindakan lapangan, bukan sekadar dasar.

“Ini menjadi pemangkin kepada operasi Maritim Malaysia untuk terus memelihara keselamatan perairan negara. Maritim Malaysia akan pastikan setiap aset dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Presiden Yayasan Polisis dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Mohd Jamizal Zainol menegaskan, kepimpinan Saifuddin berupaya mengurus kementerian paling kompleks melibatkan lebih 50 undang-undang dan 10 agensi di bawah seliaan.

Mohd Rosli turut menegaskan, Maritim Malaysia sebagai agensi keselamatan maritim di bawah KDN akan terus berada di barisan hadapan mengawal keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.

Cabaran maritim semakin kompleks dengan aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia, ancaman jenayah rentas sempadan sehinggalah keselamatan komuniti nelayan tempatan.

“Maritim Malaysia komited memastikan setiap inci perairan negara kekal selamat, dan akan terus memperkukuh kekuatan aset, anggota serta operasi selari dengan aspirasi KDN,” tegas beliau.

Ujarnya, dengan sokongan rakyat dan kerjasama semua pihak, Maritim Malaysia yakin akan mampu melangkah lebih jauh sebagai perisai maritim negara yang hebat di mata dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast