KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melancarkan pusat kitar semula sebagai langkah strategik untuk memperkukuh agenda kelestarian dan tanggungjawab sosial.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, pusat ini bukan sahaja untuk menyediakan kemudahan pengurusan sisa pepejal, malah menjadi manifestasi komitmen UMPSA terhadap amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12 dan SDG 13).
“Pusat ini akan berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan penyelidikan yang memacu inovasi dalam teknologi hijau dan ekonomi kitaran.
“Agenda kelestarian bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungjawab bersama.
“Saya menyeru semua warga kampus agar menggunakan pusat ini dengan sebaiknya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujar Dr. Yatimah, amalan kitar semula perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup seharian, sekali gus memberi kesedaran meluas kepada komuniti di luar universiti.
Selain itu beliau mengharapkan dengan adanya pusat ini akan terus mengorak langkah untuk mengurangkan jejak karbon, mengoptimumkan penggunaan sumber dan mendidik generasi muda agar lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Beliau turut melawat mesin pyrolyser yang berfungsi untuk menghasilkan sumber cecair tenaga baharu melalui proses pirolisis sisa plastik yang dihasilkan oleh pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Profesor Madya Ts. Dr. Ruzinah Isha dari dan produk penyelidikan oleh Dr. Jun Haslinda Shariffuddin yang menghasilkan tanah kompos daripada sisa makanan terbuang.
Sementara itu Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian, Dr. Suhaidah Hussain, program kitar semula UMPSA pada tahun 2024 telah berjaya mengumpulkan sebanyak 29,503 kilogram sisa kitar semula termasuk aluminium, kaca, kertas dan plastik.
Ujar beliau, program upcycling juga dikenali sebagai ‘daur ulang kreatif’ adalah proses mengubah bahan terbuang atau produk yang tidak digunakan lagi menjadi produk baharu yang mempunyai nilai lebih tinggi, kualiti lebih baik, atau kegunaan berbeza daripada barangan asalnya, tanpa melibatkan proses penghancuran bahan ke peringkat asasnya juga sedang giat dijalankan.
Ujarnya, aktiviti ini bertujuan untuk mengurangkan sisa, mengurangkan penggunaan sumber baharu, dan meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar, sambil memberi peluang kepada kreativiti dan Inovasi warga UMPSA dan masyarakat. – MalaysiaGazette
















