KUALA LUMPUR – Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terlalu awal mendabik dada sebagai pentadbir negeri sedangkan rekod pembangunan sebenar di Sabah dibawa Barisan Nasional (BN) sejak lebih tiga dekad lalu.
Menurutnya, sepanjang 34 tahun mentadbir, BN berjaya meletakkan asas pembangunan negeri menerusi projek-projek besar seperti Lebuhraya Pan Borneo, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) serta Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.
“Mereka kata kita parti Malaya tapi hakikatnya BN lah yang membangunkan Sabah selama 34 tahun. GRS baru tiga tahun mentadbir sudah pun mendakwa mereka parti lebih baik.
“BN adalah parti lokal dan nasional, dalamnya ada PBRS yang 100 peratus Sabah,” katanya ketika berucap UMNO Libaran, Sabah hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, walaupun berdepan pelbagai label daripada musuh politik, rakyat Sabah tidak boleh menafikan rekod pencapaian BN yang telah membawa hasil dinikmati sehingga kini.
Beliau dalam masa sama menegaskan, UMNO tidak wajar bekerjasama dengan GRS atau Warisan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang selain menyifatkan calon bebas yang dijangka bertanding di 10 kerusi sebagai sebahagian daripada lawan yang perlu ditangani.
“Saya lihat persediaan UMNO Libaran cukup rapi untuk menghadapi PRN dan kita yakin mampu mempertahankan DUN Sungai Sibuga dan Sungai Manila, malah tidak mustahil merampas kembali kerusi Gum-Gum,” katanya yakin. -MalaysiaGazette














