SHAH ALAM – Sebanyak 38 buah sekolah di Sabah melibatkan 230 murid terkesan akibat banjir yang melanda negeri berkenaan.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sekolah terbabit, sekiranya keadaan banjir tidak menunjukkan perkembangan yang positif, menjelang minggu depan.
“Ketika ini persiapan kita adalah pembersihan sekolah untuk melihat kepada persiapan pembukaan sekolah minggu hadapan.
“Kita juga melihat kepada akses pendidikan dapat dilaksanakan di Sabah ini walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu tetapi pendidikan masih jadi keutamaan dan paling penting keselamatan anak-anak dan warga pendidik kita,” katanya ketika ditemui selepas sesi Town Hall Anti Buli Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, sesi persekolahan sepatutnya bermula semula pada 22 September selepas cuti penggal bermula pada 13 September lalu.
Sebagai rekod dilaporkan keadaan banjir di Sabah bertambah buruk.
Jumlah mangsa meningkat kepada 3,134 orang daripada 916 keluarga berbanding 2,919 orang daripada 814 keluarga petang semalam.-MalaysiaGazette
















