KULAI – Polis menahan seorang tukang cuci sambilan kerana dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan di Taman Iris di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek iaitu lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini pukul 5.45 petang tadi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah mengesan suspek dan membuat tangkapan.
“Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau jenayah seksual,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Seng Lee memberitahu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Terdahulu polis menerima laporan pukul 9.29 malam, 14 September lalu daripada seorang wanita tempatan berusia 57 tahun memaklumkan cucunya berusia sembilan tahun mendakwa dicabul pukul 7.30 malam.
Katanya, pengadu mendakwa kanak-kanak itu dicabul seorang lelaki warga tempatan ketika berada dalam sebuah tandas awam di Jalan Jambu Air, Taman Iris.
Menurut Seng Lee, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mendedahkan pembabitan suspek dalam kes lain membabitkan jenayah sama ada dalam atau luar daerah ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kasalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.- MalaysiaGazette
















