PUTRAJAYA – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan tarikh perbicaraan penyanyi Naim Daniel atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada 15, 16 dan 18 Disember ini.
Peguam Mohd Irwan Sumadi berkata, bagaimanapun pihak pendakwaan telah membuat beberapa permohonan termasuk meminta supaya mangsa dibicarakan secara video link.
“Tetapi pihak pembelaan, kami telah membuat permohonan secara rasmi yang mana mahkamah untuk isu ini telah menetapkan satu tarikh hujah iaitu pada 17 Oktober 2025.
“Maknanya untuk pihak-pihak berhujah sama ada untuk membantah permohonan pihak pendakwaan
“Semasa perbicaraan nanti, mangsa bukan lagi berumur bawah 18 tahun, jadi perlu dibicarakan secara biasa atau normal,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Terdahulu, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28 memberitahu media, beliau hadir ke Mahkamah Sesyen di sini, kira-kira jam 6 pagi tadi.
“Ya saya datang jam 6 pagi tadi dan solat Subuh pun di sini,” katanya.
Sebelum ini, Naim Daniel berdepan pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 8.56 pagi, 19 Mei lalu.
Bagaimanapun pada 17 Jun lepas, Naim Daniel mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin, manakala Naim Daniel diwakili peguam Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, Mohd Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.
Sementara itu, peguam Amirul Ridzuan pula berkata, pihaknya akan membuat bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan itu supaya mangsa dibicarakan secara normal menerusi video link pada 17 Oktober ini.
“Hakim boleh benarkan bantahan kita ataupun hakim boleh menolak.
“Isu yang penting adalah sekarang kita boleh buat persediaan untuk perbicaraan kes Naim Daniel, itu sahaja yang kami boleh kongsikan sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















