KUALA LUMPUR – Usahawan dan koperasi yang terjejas akibat banjir serta tanah runtuh boleh memohon penstrukturan semula atau penangguhan bayaran balik pinjaman sehingga maksimum enam bulan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, dasar sedia ada itu dilaksanakan di seluruh negara apabila sesuatu daerah atau negeri diisytiharkan terjejas bencana.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai tujuh agensi pembiayaan termasuk Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Amanah
Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan SME Corp. Malaysia.
“Oleh itu, usahawan atau koperasi yang terkesan boleh memohon penangguhan pinjaman dengan syarat membuat laporan polis serta memaklumkan kepada agensi pembiayaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Contohnya, jika mereka peminjam Bank Rakyat, mereka perlu mengemukakan laporan polis dan pengesahan bahawa premis perniagaan mereka terjejas akibat bencana, jelas beliau.
Menurut Ewon, polisi ini terpakai di Sabah khususnya di daerah yang terjejas bencana banjir termasuk Penampang, Papar, Beaufort, Sipitang dan beberapa kawasan lain.
“Kita mahu membantu dan memastikan usahawan dan koperasi mempunyai ruang untuk bangkit semula selepas berdepan kerugian akibat bencana,” katanya. – MalaysiaGazette















