KUALA LUMPUR – Kuota Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bukan satu keutamaan kepada UMNO Bahagian Bukit Bintang untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).
Ketuanya, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, sebaliknya bahagian UMNO itu hanya akur kepada arahan parti dalam mengekalkan status quo sedia ada ketika ini.
“Kami ikut arahan parti. Kami status quo tidak menjadi satu prioriti untuk MPPWP,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini Biro Politik UMNO Bahagian Batu yang juga terletak di Wilayah Persekutuan mengumumkan keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan PH di kawasan Batu dan Wilayah Persekutuan (WP).
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar berkata, keputusan itu diambil selepas mendakwa berlaku layanan berat sebelah terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) di WP yang disifatkan tidak menghormati kedudukan parti itu sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau mendakwa kuota MPPWP yang pada awalnya diperuntukkan kepada UMNO diberikan kepada PH selain tiada peruntukan diterima setiap kali UMNO mengadakan program.
Ditanya tentang wujudnya sebarang arahan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai tindakan memutuskan hubungan politik itu, Tengku Azman berkata, tiada sebarang arahan setakat ini.
“Kami tidak dimaklum apa-apa arahan berkenaan (putus hubungan PH). Setakat ini, tiada apa-apa arahan (Presiden UMNO),” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















