BANGI – Seramai 3,240 graduan muda diraikan pada Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik ILKBS 2025, Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan ILKBS 2025 serta Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan 2025.
Hannah dalam ucapannya menegaskan, kadar kebolehpasaran graduan ILKBS mencecah 97 peratus pada 2024 sekali gus membuktikan graduan TVET kini menjadi pilihan utama industri pekerjaan serta berupaya memacu ekonomi negara.
Selain itu, beliau turut memberi penekanan terhadap penyertaan belia autisme dan OKU dalam program latihan kemahiran anjuran KBS.
“Apa yang saya nak fokus adalah untuk golongan belia autisme. Kita ada kursus untuk mereka dan saya nak yakinkan ibu bapa supaya mengambil peluang ini.
“Kursus ini percuma dan ibu bapa patut mempertimbangkan untuk hantar anak-anak mereka kepada kita,” katanya.
Menurut rekod, seramai 48 graduan autisme berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini, manakala secara keseluruhan 343 belia autisme telah dilatih sejak kursus khas itu diperkenalkan.
Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS, Dalila Sharingat pula berkata, pihaknya mahu mempromosikan lebih banyak penyertaan golongan itu dalam program ILKBS.
“Untuk tahun ini, kita ada 48 graduan autisme dan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 343 orang sejak kursus itu diperkenalkan.
“Kita berharap ibu bapa akan mempertimbangkan kursus ini untuk anak-anak mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan ILKBS telah melahirkan ramai usahawan sejak ditubuhkan pada 1964.
“Kita ada ramai alumni yang kini menjadi usahawan dan mengambil junior ILKBS bekerja dengan mereka. Ada juga yang kembali menyumbang dalam bentuk kepakaran dan keperluan lain. Saya percaya lebih 100 orang alumni berjaya membina perniagaan sendiri hasil latihan di ILKBS,” tambahnya.
Sementara itu, kejayaan pelajar ILKBS turut terserlah di peringkat antarabangsa apabila meraih satu pingat emas dalam bidang dandanan rambut, satu perak dalam bidang kimpalan serta satu pingat Medallion for Excellencepada WorldSkills ASEAN Manila 2025.
Kejayaan tersebut menyumbang kepada kejuaraan keseluruhan kontinjen Malaysia yang membawa pulang 13 emas, empat perak, tiga gangsa dan dua pingat Medallion for Excellence.
Pihaknya juga akan terus komited menambah baik kursus yang ditawarkan agar selari dengan keperluan industri serta perkembangan teknologi terkini, sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia Madani 2030. – MalaysiaGazette















