LONDON – Jose Mourinho kembali membimbing Benfica selepas dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu selepas meninggalkan Fenerbahce bulan lalu dengan menandatangani kontrak sehingga penghujung musim 2026-27 bersama gergasi Lisbon itu.
Dia yang berusia 62 tahun pernah mengendalikan kelab itu secara singkat 25 tahun lalu bermula pada September 2000.
Namun dia hanya bertahan hingga Disember apabila meletak jawatan selepas presiden baharu kelab, Manuel Vilarinho enggan memperbaharui kontraknya hanya dua hari selepas kemenangan bergaya 3-0 ke atas seteru tetangga, Sporting.
Bulan lalu, bekas pengendali Chelsea, Real Madrid dan Manchester United itu meninggalkan Fenerbahce hanya dua hari selepas tewas kepada Benfica dalam playoff Liga Juara-Juara.

Kini dia berpeluang sekali lagi dalam saingan yang pernah dimenanginya dua kali, bersama Porto pada musim 2003-04 dan Inter Milan pada 2009-10.
Antara tugasan awalnya berdepan bekas kelabnya Chelsea dan bakal kembali ke Stamford Bridge dalam aksi Liga Juara-Juara pada 30 September ini.
Sementara itu, karier Mourinho melonjak bersama Porto dengan dua gelaran liga dan kejuaraan Liga Juara-Juara yang membuka pintu ke Chelsea.
Sejak itu, beliau meraih pelbagai trofi di Inter Milan dan Real Madrid sebelum kembali ke Chelsea dan menjuarai Liga Perdana Inggeris musim 2014-15.
Mourinho juga menjadi pengurus pertama menjuarai ketiga-tiga kejohanan kelab Eropah UEFA semasa bersama Manchester United (Liga Europa 2017) dan AS Roma (Liga Konferens 2022).
Namun, karier terbarunya di Turkiye gagal apabila gagal menamatkan dominasi Galatasaray di Liga Super Turki, dengan Fenerbahce ketinggalan 11 mata di belakang seteru Istanbul mereka selain tersingkir dalam saingan piala. – Agensi
















