SEBERANG PERAI – Kementerian Pengangkutan (MOT) memperuntuk sebanyak RM3.5 juta bagi membiayai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Lindung Kendiri) tahun ini dengan menggunakan hasil kutipan daripada penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI).
Menterinya, Anthony Loke berkata, seramai 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara menerima manfaat perlindungan menerusi skim tersebut.
“Perbelanjaan ini bukan datang daripada Kementerian Kewangan sebaliknya kita cari kaedah lain iaitu guna hasil jualan bidaan nombor NPI untuk tampung kos RM3.5 juta.
“Pendekatan itu dibuat kerana tiada peruntukan khusus dalam bajet tahunan kita bagi tujuan berkenaan. Namun, kita mahu pastikan golongan pemandu masih mendapat perlindungan sewajarnya melalui caruman Perkeso.
“Jadi, inisiatif ini adalah cara kreatif untuk pastikan mereka tidak tercicir,” katanya selepas menghadiri perasmian Pusat Dialisis Perkeso Cawangan Seberang Jaya di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Tambah Anthony, kadar tajaan caruman ditanggung kerajaan sebanyak 70 peratus melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) manakala baki 30 peratus dibiayai MOT menerusi hasil jualan NPI.
“Peningkatan tajaan daripada RM1.16 juta tahun lalu kepada RM3.5 juta tahun ini menunjukkan usaha kerajaan memperluas liputan perlindungan sosial serta meningkatkan kesedaran pekerja sendiri tentang kepentingannya.
“Tahun lepas, kita menaja 10 peratus caruman manakala 90 peratus lagi oleh Kesuma, jadi tahun ini kita naikkan tajaan kepada 30 peratus,” katanya.
Sementara itu Steven Sim pula menyifatkan kerjasama dua kementerian itu membolehkan lebih ramai pemandu mendapat caruman percuma.
“Kadangkala pencarum sendiri tidak sedar mereka layak menuntut walaupun ditimpa bencana atau kemalangan. Jadi, saya harap pemandu lebih peka tentang perlindungan yang diberikan,” katanya.
Untuk rekod sehingga 5 September lalu, seramai 829,771 individu bekerja sendiri telah mencarum, termasuk 189,662 orang dalam kategori pengangkutan penumpang, dengan bayaran faedah berjumlah RM21.2 juta kepada 5,712 penerima. – MalaysiaGazette
















