Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook diminta menilai semula tindak-tanduk partinya sebelum menuduh Pas mahu menunjukkan kuasa dan menjadi dominan dalam pakatan politik.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, DAP sepatutnya bercermin terlebih dahulu kerana hakikatnya parti itu sendiri kerap menonjolkan sikap dominan dalam kerjasama politik yang dijalinkan.

“Saya kira Anthony Loke kena beli cermin besar, dan lihat sendiri wajah DAP. Saya tak nak ungkit cerita-cerita lama semasa Pas dan DAP sama-sama dalam Pakatan Rakyat.

“Walaupun itu cerita lama, tapi ramai masih ingat bagaimana saat DAP putuskan hubungan dengan Presiden Pas tetapi masih teruskan hubungan dengan Pas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadhli merujuk kenyataan Loke yang menyifatkan Pas sukar untuk mengekalkan hubungan baik dengan rakan sekutu politiknya apabila parti itu sering bertindak mendominasi dan akhirnya mencetuskan pertelingkahan dalam gabungan.

Malah Loks berkata, pengalaman DAP bersama Pas suatu ketika dahulu jelas menunjukkan kecenderungan Pas untuk bergolak dengan mana-mana pihak yang pernah bekerjasama dengannya.

Dalam pada itu, Fahdli turut mengingatkan bahawa walaupun Pas dan Bersatu dilihat berbeza pandangan dalam isu calon Perdana Menteri, perkara itu masih dalam ruang lingkup perbincangan selepas kedua-dua parti selesai mengadakan perhimpunan agung masing-masing.

“Pas tidak pula menggerakkan ahli-ahlinya buat laporan polis ke atas Bersatu, dan bukan juga sebaliknya.

“Tetapi DAP baru sahaja sebulan lepas, menggerakkan ahli-ahlinya buat laporan ke atas Ketua Pemuda UMNO. Eh, sama-sama dalam kerajaan ni kan?” soalnya.

Beliau mendakwa tindakan DAP itu jelas memperlihatkan sikap dominan kerana tidak ada pemimpin utama UMNO tampil secara rasmi mempertahankan Ketua Pemuda mereka yang diserang.

“Tidak ada grup WhatsApp? Tidak ada meja rundingan? Jawabnya ada, tetapi kerana nak tunjuk dominan, DAP buat kenyataan secara terbuka bahawa laporan polis digerakkan seluruh negara ke atas Ketua Pemuda UMNO,” katanya lagi.

Malah, menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, wujud beberapa bahagian UMNO di Wilayah Persekutuan yang secara terbuka mengisytiharkan putus hubungan dengan DAP, sekali gus memperlihatkan konflik dalaman yang semakin meruncing.

“Eh, siapa yang berkonflik ni? Rumah siapa sedang runtuh ni? Anthony Loke, beli cermin ye,” sindirnya.

Khamis lalu, Biro Politik UMNO Bahagian Batu mengumumkan keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di kawasan Batu dan Wilayah Persekutuan (WP).

Ketua Bahagiannya, Datuk Gulam Muszaffar berkata, keputusan itu diambil selepas mendakwa berlaku layanan berat sebelah terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) di WP yang disifatkan tidak menghormati kedudukan parti itu sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast