PONTIAN – Nelayan yang terjatuh ke laut ketika mencuci kipas bilah bot di jeti nelayan, Jalan Tambak- Pontian Kechil di sini pagi tadi, ditemukan mayatnya petang tadi.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, mayat warga emas ditemukan pada jarak 10 meter dari jeti berkenaan.
“Mayat telah timbul sendiri pada pukul 3.25 petang sebelum dibawa naik oleh rakan mangsa dibantu pihak bomba.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu portal ini melaporkan, mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam laut di jeti nelayan tersebut dan laporan kejadian itu diterima pukul 12.02 tengah hari.
Mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun dipercayai lemas ketika membuat kerja-kerja pembersihan bilah kipas bot.- MalaysiaGazette
















