KUALA LUMPUR – Pasukan muda negara menampilkan prestasi membanggakan apabila menamatkan saingan di kedudukan kelima daripada keseluruhan 28 negara pada Kejohanan Dunia Endurance Remaja & Junior 2025 di Buftea, Romania, hari ini.
Malaysia mencatat masa keseluruhan 21 jam 05 minit 58 saat dengan empat daripada lima pelumba berjaya menamatkan perlumbaan berprestij itu.
Ahmad Athif Haidar yang menunggang kuda Djawad Du Barthas muncul pelumba terbaik negara apabila menamatkan saingan di tempat ke-21 individu, diikuti Ahmad Haziq Farhan Ahmad Faris (Gentleman Valarbin Aa) di kedudukan ke-22.
Turut menamatkan perlumbaan ialah Wan Nur Irdina Aisya Wan Mohd Kamaluddin (Gondor De La Fichade) di tempat ke-28 manakala Abdullah Faqeh Muhammad (Fujairah Du Roc’h) di kedudukan ke-29.
Bagaimanapun, seorang lagi wakil negara Muhammad Nurhan Fawwaz Nurhairi yang menunggang Fogo tidak berjaya menamatkan saingan.
“Malaysia turut dianugerahkan “The Best Team”, satu-satunya negara dengan empat daripada lima penunggang berjaya menamatkan perlumbaan. Negara lain hanya mampu menamatkan dengan tiga, dua atau seorang penunggang sahaja,” menurut pengiring pasukan Muhamad Abdullah al Amin kepada Bernama. – Bernama















