ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menunjukkan belas kasihan apabila merobek gawang Sabah FC 8-0, pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sinin malam ini.
Bukan itu sahaja, keagresifan skuad Harimau Selatan sukar dibendung sehingga mencatat rekod baharu bagi jaringan liga berikutan Bergson Da Silva merekodkan 109 gol apabila mencatat hattrik bersama-sama Joao Figueiredo pada aksi berkenaan.
Tidak menunggu lama, JDT bermula garang sebaik wisel permulaan ditiupkan dengan mengasak hebat ke kubu pelawat dalam usaha membuka jaringan.
JDT hampir membuka jaringan seawal minit ketiga, nama tandukan pemain tinggi lampai Eddy Israfilov berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat.
Bagaimanapun, minit kelima menyaksikan Oscar Arribas meledak gol pembukaan setelah menerima lorongan cantik daripada Joao Figueiredo.
Minit ke-11 menyaksikan giliran Arribas pula melakukan hantaran kepada Figueiredo bagi menjaringkan gol kedua skuad Harimau Selatan itu.
Biarpun selesa memimpin perlawanan dua gol, JDT dilihat terus bersemangat mengasak ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.
Figueiredo kemudiannya meledak gol ketiga JDT pada minit ke-23 bagi mengukuhkan lagi kedudukan skuad Harimau Selatan itu.
Pemain import, Raul Parra kemudiannya menjaringkan gol keempat JDT sebelum Figueiredo menjaringkan gol kelima dan sekali gus melengkapkan hattrik pada masa kecederaan babak pertama.
JDT terus mendominasi perlawanan pada babak kedua dan menyaksikan giliran penyerang sensasi, Bergson Da Silva mencatat nama selaku penjaring apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61.
Jaringan itu sekali gus menyaksikan Bergson melakar rekod jaringan baharu bagi saingan liga, dengan 107 gol bagi mengatasi rekod 106 gol yang dihasilkan bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin.
Bergson kemudiannya menjaringkan gol kedua peribadinya yang juga gol ke-108 setelah menanduk masuk sepakan sudut pada minit ke-74.
Penghujung perlawanan menyaksikan JDT semakin hebat mengasak dan menyaksikan Bergson meledak hattrik kedua dalam perlawanan tersebut pada masa kecederaan apabila menjaringkan gol kelapan skuad Harimau Selatan yang juga gol ke-109 peribadinya.
Kemenangan itu menyaksikan JDT terus unggul di persada Liga Super dengan 18 mata setelah enam perlawanan sementara Sabah FC berada pada kedudukan ke-10 dengan tiga mata setelah mengharungi empat perlawanan.- MalaysiaGazette
















