JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu mengemas kini sistem MyKad terlebih dahulu sebelum melaksana kaedah mengisi minyak menerusi sistem subsidi RON95 menggunakan kad pengenalan yang dijangka bermula hujung bulan ini.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Mohd Ridhwan Othman berkata, langkah tersebut perlu bagi memastikan sistem baharu itu nanti lancar, cepat dan tidak mempunyai birokrasi apabila dilaksanakan.
“Kita lihat dan dapati cip-cip yang ada pada MyKad pada masa kini mempunyai masalah dan memberi kesan sampingan kepada pengguna dalam urusan seharian mereka.
“Kerajaan perlu buat kajian atau tinjauan terlebih dahulu sama ada pro dan kontra jika ingin membuat satu-satu sistem pelaksanaan agar ianya dapat berjalan dan beroperasi dengan baik, lancar serta berkesan,” katanya dalam kenyatan.
Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai agar memeriksa MyKad bagi memastikan cip berfungsi dengan baik berikutan pelaksanaan sistem pengesahan subsidi RON95 yang akan bermula pada hujung bulan ini.
Bagaimanapun, pelaksanaan perkara tersebut masih belum dibuat oleh kerajaan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat di negara ini.
Mengulas lanjut, Ridhwan berkata, pihaknya tidak mahu sistem itu bakal menyusahkankan rakyat jika dilaksanakan secara terburu-buru.
“Kita tidak mahu akan berlaku kesesakan traffik yang teruk di setiap stesen minyak di negara ini sehingga mengundang kemarahan pengguna jalan raya yang lain dan berlaku implikasi ekosistem ekonomi negara,” ujarnya.
Beliau berkata, didapati cip-cip yang ada pada MyKad kerap rosak dan sukar diimbas oleh mesin pengimbas yang digunakan.
Paling merisaukan katanya, kehilangan MyKad yang tinggi akan berlaku secara mendadak jika rakyat tidak prihatin dengan kad pengenalan mereka.
Ujarnya, pada masa sama akan timbul satu isu baharu yang akan dihadapi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) nanti.

“Secara tidak langsung ini akan memberi ruang dan peluang kepada aktiviti jenayah jualan dan pembekalan MyKad oleh pihak yg tidak bertanggunjawab kepada warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Bertambah teruk katanya, keadaan itu akan diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab apabila mereka memanipulasi data-data berkenaan.
“Kita harap kerajaan janganlah buat sesuatu perkara yang baik itu secara tergopoh gapah sebabnya kita mahu sistem ini dapat digunapakai untuk tempoh masa yang lama dan panjang demi kebaikan rakyat Malaysia,” tambabnya.- MalaysiaGazette
















