KENYATAAN ABIM berhubung pelaksanaan dasar BUDI RON95.

KUALA LUMPUR – Inisiatif penyasaran subsidi petrol di bawah Program Budi Madani RON95 (BUDI95) perlu dilaksanakan dengan penuh teliti supaya tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan rentan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kerajaan perlu menyediakan langkah mitigasi yang jelas termasuk menggunakan penjimatan subsidi untuk menyokong tambang awam serta menstabilkan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh.

Tambahnya, sebagai nadi kepada mobiliti rakyat dan akses ekonomi, kerajaan perlu memastikan manfaat subsidi RON95 itu lebih dirasai oleh kelompok yang paling bergantung kepada bahan api tersebut termasuk golongan B40, pekerja gig, petani dan nelayan.

Selain itu dasar tersebut juga mesti dilaksanakan secara adil dan berperikemanusiaan, termasuk terhadap pekerja migran sah yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Walaupun mereka tidak layak menerima subsidi warganegara, kerajaan wajar menjelaskan mekanisme yang tidak membebankan pekerja berpendapatan rendah daripada kalangan pekerja migran ini agar mereka tidak menanggung kos berlebihan yang akhirnya boleh menjejaskan sektor ekonomi tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, kerajaan juga perlu memastikan semua sistem sokongan seperti MyKad, pembaca kad dan aplikasi digital berfungsi dengan baik sebelum tarikh kuat kuasa bagi mengelakkan kekecohan di stesen minyak.

Selain itu kerajaan juga wajar mempertimbangkan tempoh percubaan yang lebih panjang, khususnya di kawasan luar bandar yang berisiko menghadapi masalah capaian teknologi.

“Dasar penyasaran subsidi RON95 ini mesti dilihat bukan semata-mata sebagai langkah fiskal, tetapi sebagai dasar yang mencerminkan nilai keadilan sosial, keterangkuman dan penyantunan rakyat.

“Subsidi bahan api adalah hak rakyat yang wajib dilindungi oleh negara,” katanya.

Sementara itu, dalam konteks lebih luas, Ahmad Fahmi berkata, pihaknya berpandangan masalah ketirisan subsidi bukan hanya melibatkan petrol semata-mata, tetapi juga subsidi pukal lain.

Ia tambahnya, seperti tol, beras, gula, elektrik dan minyak masak yang turut dinikmati oleh bukan warganegara atau kumpulan yang tidak layak.

Sehubungan itu, ujar beliau, kerajaan wajar menggerakkan reformasi menyeluruh ke arah model subsidi yang lebih pintar (smart targeting) supaya manfaatnya benar-benar disasarkan kepada rakyat yang memerlukan.

“ABIM mencadangkan agar kerajaan memperkukuh penggunaan pendigitalan pintar dan integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Imigresen dan agensi berkaitan supaya kelayakan subsidi dapat disahkan secara automatik di belakang sistem tanpa membebankan pengguna di stesen minyak,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 yang berkuat kuasa 30 September ini.

Menurut Anwar, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna yang layak selain mengelakkan ketirisan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast